24 Juni 2011

Sedekah, ga pa pa kan ?



Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuuh....

Islam adalah penyelamat kepada manusia dan kemanusiaan, pembawa rahmat kepada alam dan segala isinya. Islam merupakan rahmat kepada fakir miskin, penyelamat kepada orang yang dizalimi dan pembela kepada orang yang menjaga maruah diri dari meminta-minta. Islam adalah cahaya kepada kejahilan manusia, penyeri kepada pemikiran manusia dan ubat penawar kepada keangkuhan dan kesombongan manusia. Islam mengajarkan kepada manusia bahawa hidup ini perlu dilayari secara bersama, tanpa mengira pangkat, darjat, warna kulit yang berbeza malah agama yang berlainan.

Sifakir miskin perlu dibantu bersama, yang berhajat dan memerlukan perlu disantuni, yang terkena musibah perlu ditenteramkan jiwa dan perasaan mereka.Perbuatan jahat dan zalim perlu dihindari agar keharmonian dan ketenteraman hidup dapat dirasai bersama.

Setiap individu muslim perlu meyakini janji Allah s.w.t. walau dalam apa keadaan sekalipun. Seorang individu muslim perlu bergantung kepada Allah walau siapa dirinya sekalipun. Pangkat, darjat, keturunan, kekayaan serta kemiskinan itu semua adalah ujian dan cubaan Allah s.w.t. kepada manusia.

Islam mengajar manusia agar sentiasa menginsafi diri serta memahami hakikat kehidupan dengan sebenar-benarnya. Setiap individu perlu memahami bahawa andainya dia hartawan maka tentu ada yang lebih hartawan darinya, andainya dia seorang miskin maka dia perlu mensyukuri nikmat Allah kerana diberi peluang oleh Allah s.w.t. meneruskan kehidupan di dunia ini. Dia juga masih diberi peluang oleh Allah untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Manusia yang dianugerahkan Allah s.w.t. dengan harta yang bertimbun perlu menginsafi dan memahami bahawa sekiranya harta tersebut dipergunakan ke tempat yang sewajarnya maka ia menjadi rahmat kepadanya. Namun, andainya harta itu dipergunakan di tempat atau didermakan pada yang bukan seharusnya maka harta tersebut menjadi bencana ke atasnya di akhirat kelak. Harta yang dimiliki itu sebenarnya merupakan amanah daripada Allah s.w.t. Amanah tersebut perlu dikongsi bersama dengan orang-orang yang memerlukan.

Melalui firman Allah yang bermaksud :

"Perumpamaan orang-orang yang menginfakkan harta mereka di jalan Allah seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai terdapat seratus biji benih dan Allah melipat gandakan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas kurniaanNya lagi Maha Mengetahui." (al-Baqarah :261)

Ayat di atas menjelaskan bahawa tidak sekali-kali berkurangan harta lantaran menderma atau memperuntukkan kepada sesiapa yang berhak atau memerlukan.

Perasaan yang terdapat pada manusia yang takutkan kemiskinan atau kekafiran kerana menderma itu, sebenarnya hembusan syaitan yang mengoda serta menghasut manusia agar tidak menderma atau menginfak. Ia cuma satu perasaan cemas yang disokong oleh rayuan dan pujukan syaitan

Sesungguhnya janji Allah yang benar yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda daripada harta yang didermakan dan janji syaitan itu hanyalah tipu daya semata-mata. Firma Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Syaitan menjanjikan kamu dengan kefakiran/kemiskinan dan ia menyuruh kamu dengan berbuat kejahatan, sedangkan Allah menjanjikan kamu dengan keampunan daripadaNya dan kurniaan yang banyak dan Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui." (al-Baqarah: 268)

 http://www.lailahaillallah.com/profile-2281/blog/tidak-papa-dengan-bersedekah-2/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar