* Kisah Perjuangan Rina *
Rina sedang menyiapkan makan malam ketika aku tiba di rumah. Aku
memegang tangannya dan berkata, “ Abang ada sesuatu nak beritahu”. Dia
membisu dan dapat ku lihat keresahan di matanya.
Tiba-tiba
lidahku kelu. Tapi aku nekad untuk memberitahunya. “Abang rasa kita
sudah tidak serasi lagi. Kita cerai?”.Akhirnya, terlepas jua beban di
dada. Tapi ku lihat Rina tenang dan dia hanya bertanya dengan lembut.
“Mengapa bang? Apa salah saya?”. Giliran aku membisu dan ini menimbulkan
kemarahan Rina. Air matanya mula menitis. Aku tahu dia mahukan jawapan
tapi aku tiada jawapannya. Yang ku tahu, hatiku kini milik Tasya.
Cintaku bukan pada Rina lagi.
Aku katakanya padanya yang dia
boleh ambil rumah dan kereta apabila kami bercerai. Rina merenung
wajahku.Pandangannya kosong. 10 tahun kami berkahwin tetapi malam ni
kami umpama orang asing. Aku kasihankannya tetapi untuk berpatah balik
tidak sesekali. Aku cintakan Tasya. Air matanya yang sekian tadi
bertakung mula mengalir deras. Sudah ku jangka. Malah aku lega
melihatnya menangis. Niatku untuk bercerai semakin jelas dan nyata.
Keesokannya, Rina mengatakan dia tidak mahu apa-apa dari penceraian
kami melainkan tempoh 1 bulan. Dia meminta bahawa dalam satu bulan itu
kami teruskan rutin harian kami seperti biasa sebagai suami isteri.
Alasannya, anak kami bakal menduduki peperiksaan dalam masa sebulan lagi
dan dia tidak mahu anak kami terganggu dengan penceraian kami. Aku
bersetuju.
Kemudian Rina menyuruhku mengingat kembali saat aku
mendukungnya ke bilik kami pada malam pertama kami. Dia meminta untuk
tempoh sebulan ini, aku mendukungnya keluar dari bilik tidur kami ke
pintu depan setiap pagi. Pada ku memang tidak masuk akal. Tetapi aku
tetap bersetuju.
Aku memberitahu Tasya permintaan Rina. Dia
ketawa dan hanya mengatakan ini semua kerja gila. Tidak kira apa
muslihat Rina, dia tetap akan diceraikan. Aku hanya diam membatu.
Semenjak aku menimbulkan isu penceraian, kemesraan kami terus hilang.
Hari pertama aku mendukungnya keluar, aku merasa kekok. Rina juga. Anak
kami bertepuk tangan di belakang sambil ketawa dan berkata, “Ayah dukung
ibu ya”. Kata-katanya amat menyentuh hatiku. Mata Rina bergenang dan
dengan lembut dia memberitahuku agar jangan sampai anak kami tahu yang
kami akan bercerai. Aku mengangguk setuju. Aku menurunkannya di muka
pintu. Dan kami memandu berasingan ke tempat kerja.
Masuk hari
kedua, hilang sedikit rasa kekok. Rina bersandar di dadaku. Dapat ku
cium harumannya. Dapat ku lihat kedutan halus di wajahnya Aku sedar dia
tidak muda lagi seperti dahulu. Ternyata perkahwinan kami memberi kesan
kepadanya. Selama satu minit, aku tertanya-tanya apa yang telah aku
lakukan.
Masuk hari keempat, aku dapat rasakan keintiman kami
telah kembali. Tanpa sedar hatiku berkocak mengatakan mungkinkan cintaku
masih padanya. Hari kelima dan keenam, aku menyedari keintiman kami
mula bercambah kembali. Aku tidak memberitahu Tasya tentang perkara ini.
Masuk hari-hari seterusnya, rutin ini jadi lebih mudah malah aku
nantikannya setiap pagi.
Suatu pagi, Rina sedang memilih baju
untuk dipakai. Katanya tiada yang sesuai. Dia mengeluh. “Semua baju saya
besar”. Baru ku sedar, dia semakin kurus. Mungkin itu jugalah sebabnya
aku semakin mudah mendukungnya. Tiba-tiba terlintas di fikiranku.
Mungkin Rina sedang menyembunyikan keperitan hatinya lantaran sikapku
selama ini. Tanda sedar aku merangkul tubuhnya dan membelai rambutnya.
Kemudian, muncul anak kami di muka pintu sambil berkata “ Ayah, cepat
lah dukung ibu keluar”. Padanya, melihat aku mendukung keluar isteriku
setiap pagi adalah rutin hariannya. Rina memanggil anak kami lalu
memeluknya erat. Ku palingkan mukaku kerana takut aku sndiri mengubah
fikiran di saat ini. Aku kemudian mendukungnya dan tangannya melingkari
leherku. Tanpa sedar, ku eratkan rangkulanku. Dapat ku rasakan badannya
sangat ringan.
Hari ini genap sebulan.....
Di muka
pintu aku menggenggam tangannya dan berkata “ Abang tidak sedar yang
selama ini kita kurang keintiman”. Aku terus melangkah ke kereta dan
terus memandu ke pejabat. Sesampainya di pejabat, aku terus ke bilik
Tasya. Sebaik pintu terbuka, aku masuk dan aku beritahu dia “Maaf Tasya.
Saya tidak akan bercerai dengan Rina. Sekarang saya sedar saya masih
cintakan dia”.
Muka Tasya berubah merah. Tapi ku kata jua,“Maaf
Tasya. Saya dan Rina tidak akan bercerai. Perkahwinan kami membosankan
mungkin kerana saya tidak menghargai apa yang kami ada dan kongsi selama
ini, bukan kerana kami tidak lagi menyintai satu sama lain”. Tasya
menjerit sekuat hati dan aku terus melangkah keluar.
Aku
kembali ke kereta dan niat hatiku mahu pulang ke rumah dan memohon maaf
dari Rina, isteriku. Aku singgah di sebuah kedai bunga untuk membeli
sejambak tulip merah kesukaan Rina. Aku capai sekeping kad dan ku tulis,
“Abang akan dukung Rina setiap pagi hingga maut memisahkan kita”.
Setibanya di rumah, aku terus berlari ke bilik kami dan mendapati Rina
terbaring tenang di atas katil. Ku belai wajahnya sambil memanggil
namanya tapi tiada sahutan. Rina kaku. Hatiku berdetak keras.
Kini Rina pergi untuk selamanya. Perpisahan yang ku pinta ternyata
ditunaikan. Sekian lama Rina berperang dengan KANSER RAHIM tetapi aku
begitu sibuk dengan Tasya untuk menyedarinya. Rina tahu bahawa dia akan
mati tidak lama lagi dan dia mahu menyelamatkan aku daripada reaksi
negatif dari anak kami, sekiranya kami tetap bercerai. Rina mahu
sekurang-kurangnya di mata anak kami, aku adalah suami yang penyayang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar