24 Juni 2011

Antara Lobak, Telur dan Kopi, mana Satu Hati Kita????




Asslamualaikum,

Akma hampir putus asa dengan masalah yang menimpa hidupnya. Satu masalah berlalu, masalah lain pula datang bertalu-talu. Perasaan marah, sedih, benci meluat, geram...sebut apa juga perasaan yang menghimpit sanubari, semuanya pernah dirasakan. Sehingga Akma berasakan dirinya dan derita adalah satu. Akma ke rumah ibunya. Kepada ibunya, semua masaalah diluahkan dan ibunya mendengar dengan tenang tanpa banyak bicara.

Setelah mendengar dengan penuh empati, ibunya mengajak Akma ke dapur. Ibunya mendidihkan tiga periuk air kosong. Setelah air mendidih, ibunya memasukkan lobak merah, telur dan serbuk kopi asli ke dalam periuk berasingan. Semua dibiarkan mendidih beberapa lama. Selepas itu, ibunya mengeluarkan lobak merah dan telur dari periuk serta meletak kedua-dua ke dalam mangkuk.Periuk yang diisi kopi dituang ke dalam mangkuk juga. Kemudian si ibu menoleh kepada Akma sambil berkata, "Apa yang Akma nampak?" Akma menjawab "lobak merah menjadi lembik,telur menjadi beku dan keras, tapi kopi wangi dan masih rasa kopi. Tapi apa makna semua ini, ibu?"

Ibu Akma menjelaskan, "Lobak merah mulanya keras tetapi setelah dididihkan ia menjadi lembik. Telur pula sebelum dididihkan, kulitnya yang rapuh melindungi isinya yang lembut. Tapi setelah dididihkan, isinya menjadi beku dan keras berbanding sebelumnya. Serbuk kopi ini lain. Sebelum dikisar menjadi serbuk, ia sangat keras. Setelah menjadi serbuk, ia dengan mudah larut dalam air panas, ia seolah-olah mengalah dengan air panas, namun ia berjaya mengubah warna, rasa dan bau air panas tadi. Air yang jernih telah menjadi air kopi. Jatidiri kopi tidak berubah walaupun ia larut dalam air panas, bahkan ia mengubah air kosong panas menjadi air kopi."

Akma merenung jauh ke dalam diri apabila ibu memengang kedua bahunya. Renungan mata ibunya tenang. Dengan penuh kasih sayang, siibu bertanya, "Mana satu hatimu, anakku...lobak, telur atau kopi?"

Andai soalan terakhir ini ditujukan kepada kita, apa jawapan yang kita ada?

Adakah kita seperti lobak merah yang keras dengan warna yang gemilang, menjadi lemah dan lembik luar serta dalam apabila dilanda ujian serta cabaran kehidupan...Meratap sepanjang hidup atas malangnya nasib yang menimpa diri.

Atau seperti telur yang bermula dengan memiliki hati yang lembut, menjadi keras hati apabila menghadapi ujian serta cabaran kehidupan. Luarannya seperti tidak berubah tetapi dalamannya menjadi keras. Tercari-cari kepada siapa dendam hendak dibalas.

Atau seperti kopi yang yang tidak pernah hilang jati diri walaupun telah dikisar dan dimasukkan pula ke dalam air yang mendidih sehingga hilang sifat luarannya. Cabaran dan ujian yang dihadapi tidak mengubah jati dirinya. Kepasrahannya menerima apa jua yang mendatang tidak membunuh prinsip dan nilai kebenaran serta tidak menjauhkan dari matlamat kehidupan sebagai khalifah dan hamba Allah di muka bumi ini.Orang sekeliling melihatnya dengan simpati atas apa yang menimpa tetapi dia sendiri tenang. Semuanya diterima sebagai sapaan penuh kasih dari Allah s.w.t.

Akhir sekali hendaklah kita kenali Pencipta melalui ciptaanNya. Hayati sifatNya melalui takdirNya. Semoga panasnya ujian dan cabaran tidak menggugah iman, malah menjadi batu loncatan membentuk peribadi unggul sebagai khalifah dan hamba Allah yang tenang dan tabah walaupun pelbagai ujian dan cabaran yang menimpa.

   http://www.lailahaillallah.com/profile-2281/blog/antara-lobak-telur-dan-kopi-mana-satu-hati-kita/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar